Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak
dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di
hati - raja dalam kerajaan diri manusia.
Sabda
Rasulullah saw: "Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul
daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya,
jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging
itu ialah hati." Riwayat Al-Bukhari
Ini
bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan
cinta yang ‘baik'. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota
jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat' maka jahatlah hati.
Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, "berhati-hatilah menjaga
hati." Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang
salah... akibatnya terlalu buruk.
Umpama
menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu
tahu apa akibatnya bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan
kemungkaran, penzaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan
menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan
menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi,
berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan
rindu.
Sebenarnya, pada
siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada
diantara kita yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang
sentiasa diingati. Oh, bukan, bukan... Sebenarnya hati setiap manusia
secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu?
Dan benarkah begitu? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan
bersama...
Setiap hati
inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat
yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak
inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda
kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita
inginkan kasih-sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah,
hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan.
Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh
manusia.
Bukankah Allah
memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih
sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan
mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana
itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang
menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat
kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha
Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim
(Maha Penyayang)?
Sebutlah...
apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di
situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang
merindui dan mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan.
Selagi manusia punya hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang
menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun
kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.
Inilah benih rindu dan
cinta yang telah dibina (‘install') secara fitrah (tabie) dalam diri
setiap manusia sejak di alam roh lagi.
Firman
Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab:
‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi." Al-A'raf : 172
Bahkan,
pakar-pakar psikologi manusia juga turut mengakui. Manusia sebenarnya
mempunyai keinginan kepada suatu kuasa yang dapat mengatasi segala
kekurangan dan kelemahan. Ini memang satu naluri yang semulajadi.
Prof
Dr Ramachandran dari California University misalnya, telah menemui
‘Titik Tuhan' - ‘God Spot' dalam sistem otak manusia yang sentiasa
mencari makna kehidupan - asal-usulnya, apa maksud kedatangannya ke
dunia, dan ke mana akan pergi selepas mati. Dan di hujung semua
persoalan itu pasti manusia akan menemui kewujudan Tuhan. Inilah
hakikatnya pencarian dan kembara manusia. Inilah asas segala kerinduan
dan cinta!
Jadi sedarlah.
Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada
ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang
terputus atau cinta terkandas, kita inginkan sambungan... maka ketika
itu sebenarnya kita sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang
Maha Pengasih dan Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan
keampunan dan kemaafan, maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al
Ghafar (Pengampun) dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).
Semua
keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan
dirinya kepada Allah. Allah yang punya segala-galanya itu. Allah
sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman
Allah: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan
perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat
dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan
hina." Al-Mukmin : 60
Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada Allah.
Firman
Allah: "Allah memiliki Asmaa' ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan
menyebut nama-nama yang baik itu..." Al A'raaf : 180
Manusia
hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka
mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi
tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia
tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang
pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang
lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna.
Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.
Ya,
ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang
Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada ‘perkenalan' dan ‘percintaan'
manusia dengan Allah di Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia
ini) . Bukankah sejak di alam roh lagi manusia telah mengetahui dan
mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah.
Firman
Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab:
‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi." Al-A'raf : 172
Itulah
pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu.
Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu
sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik,
pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan cintakan Allah
itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus
suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?
Sungguhpun
begitu, perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu
kerap tercemar. Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya
begitu mengenali dan mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan
dan kerinduannya itu. Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan
dengan Allah mula dicemari. Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat
malang, kerapkali yang memisahkan anak-anak daripada Allah ialah
ibu-bapa anak-anak itu sendiri.
"Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani."
Justeru,
untuk mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori... maka
awal-awal lagi apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu
diazankan dan diiqamatkan. Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan
bayi itu dengan Allah.
Tidak
cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan
kepada anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah
tetapi konsisten.
Sabda Rasululah: "Awal-awal agama ialah mengenal Allah."
Alangkah
indahnya jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta
dan rindu Allah itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila
menjelang dewasa.
Malangnya,
ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya.
Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran
Allah. Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang
didedahkan kepada anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.
Akibatnya,
kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak
bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap
manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta
Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan
berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam
satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala
kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta
selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!
Bagaimanakah
caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni?
Cukupkah hanya dengan ucapan dan penyesalan? Ya, usaha untuk
membersihkan hati adalah usaha yang sukar. Tetapi hanya itulah
satu-satunya jalan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat cinta itu
semula. Setiap cinta menagih pengorbanan. Begitulah jua cinta Allah.
Sabda
Rasulullah: "Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi
sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan."
Perjuangan
itu pahit, kerana syurga itu manis. Kecintaan kepada Allah terlalu
mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan,
jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar,
maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah zat yang Maha Agung dan
Maha Sempurna itu.
Siapa
tidak inginkan kecantikan, harta, nama dan kuasa? Semua itu mahal
harganya. Namun semua itu tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan
cinta Allah - sumber segala kekayaan, kecantikan, kuasa dan keagungan.
Cintakan gadis yang cantik, kecantikan akan luntur. Cintakan harta yang
banyak, harta akan musnah atau ditinggalkan. Cinta pada kuasa, suatu
hari pasti dijatuhkan atau berakhir dengan kematian.
Namun
cinta Allah, adalah cinta yang hakiki, sejati dan abadi. Keindahan
Pencipta (Khalik) tidak akan dapat ditandingi oleh ciptaannya (makhluk).
Keagungan, kekuasaan dan kekayaan Allah akan kekal abadi selamanya.
Bila kekasih di kalangan manusia sudah berpaling, maka sedarilah bahawa
Allah tetap melihat dengan pandangan rahmat-Nya. Apabila kita mencintai
Allah, kita hakikatnya akan memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang
tidak akan terpisah oleh kejauhan, kematian dan kemiskinan. Sebaliknya
bila kita kehilangan cinta Allah, kita sebenarnya telah kehilangan
segala-galanya.
Sekiranya
kita telah disukai oleh seorang raja, maka anda akan turut disukai oleh
pelayan-pelayannya, dikurniakan pangkat, dijamin makan-minum, bebas di
bergerak di istananya dan macam-macam lagi kurniaannya. Maka begitulah
sekiranya seorang yang mencintai Allah. Para malaikat akan menjaganya.
Orang-orang soleh turut mendoakannya. Rezkinya akan dipenuhi dengan
segala kecukupan dan keberkatan. Apa nak dihairankan? Bukankah ‘talian
hayat' kekasih-kekasih Allah ini sentiasa terhubung kepada satu kuasa
yang tiada tolok bandingnya!
Hadis
Qudsi: Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan
Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan
dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat
kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok
mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat
kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat
kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku
datang kepadanya dengan berlari-lari kecil. (Sahih Bukhari)
Namun
begitu, seperti yang ditegaskan sebelumnya, cinta Allah yang begitu
agung dan suci, pasti ada tagihannya. Jalan mencintai Allah tidak
semudah yang disangkakan. Sudah adat, setiap yang mahal, sukar
mendapatkannya. Bandingannya seperti pasir dengan permata. Pasir, murah
harganya... kerana ia boleh dicari di merata-rata. Sebaliknya, permata
begitu tinggi nilainya, maka perlu menyelam ke dasar lautan untuk
mendapatkannya.
Tidak ada
kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang
hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata.
Justeru, pasti ada ‘harga' atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk
mendapatkannya.
Untuk
mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah
sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar
harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita - masa, tenaga, harta
bahkan nyawa. Namun apa yang lebih penting bukanlah masa, tenaga atau
sesuatu yang berbentuk lahiriah. Itu cuma lambang sahaja. Yang lebih
penting ialah hati di sebalik pengorbanan itu.
Lihat
sahaja hati yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam
pengorbanannya untuk Allah. Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu
yang terbaik untuk Allah. Lalu kerana ketulusan hatinya, Habil
mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik untuk Allah. Manakala Qabil
pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang bermutu untuk membuktikan
cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab, Allah menolak
pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.
Kita
bagaimana? Sudahkah kita mengorbankan segala yang terbaik hasil
dorongan hati yang baik? Ke manakah kita luangkan masa, usia, tenaga,
harta kita yang terbaik? Untuk kebaikan yang disuruh oleh Allah atau ke
arah kejahatan yang dilarang-Nya? Tepuk dada tanyalah hati, apakah ada
cinta yang mendalam di dalam hati itu?
Rasulullah
SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan
kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu". Riwayat Muslim
Pengabdian
kita kepada Tuhan adalah bukti cinta kepada-nya. Pepatah Arab
mengatakan:"Setiap orang menjadi hamba kepada apa yang dicintanya."
Maksudnya,
pengabdian adalah umpama ‘hadiah' yang kita ingin berikan kepada Allah
sebagai bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih. Tidak
dicemari riyak dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh
hamba-Nya dengan sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati -
riyak (syirik kecil), sifat menunjuk-nunjuk, syirik besar -
mempersekutukan Allah) maka amalan itu tidak bernilai walaupun ia seluas
lautan atau setinggi gunung.
Sebaliknya,
jika hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan
menjadi besar dan bernilai di sisi Allah. Insya-Allah, ‘hadiah' itu akan
diterima oleh Allah.
Firman
Allah: "Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya, hendaklah dia beramal
soleh dan tidak mempersekutukan Allah dengan amalannya itu." Surah
Al-Kahfi: 110
Hakikatnya Allah Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki
apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya sekalipun amalan dan kebaikan
yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada bersifat miskin - punya
keinginan untuk mendapat manfaat daripada para hamba-Nya. Amalan dan
kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah tetapi manfaat
itu kembali kepada manusia semula.
Bila kita solat misalnya, solat
itu manfaatnya akan dirasai oleh kita juga. Firman Allah:"Sesungguhnya
sembahyang itu akan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan." Surah
Al-Ankabut: 45
Ya, solat
akan menyebabkan kita terhalang daripada melakukan kejahatan dan
kemungkaran. Itulah manfaat solat. Itu amat berguna kepada diri manusia.
Manusia yang baik akan dikasihi oleh manusia lain. Hidup yang selamat
daripada kemungkaran dan kejahatan, adalah hidup yang tenang, aman dan
bahagia.
Begitu juga apabila
Allah menyuruh kita melakukan sesuatu atau melarang kita melakukannya,
itu adalah kerana Allah ingin berikan kebaikan kepada kita bukan
untuk-Nya. Inilah rasionalnya di sebalik pengharaman riba, arak, zina,
pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain. Susah atau senangnya
untuk manusia bukan untuk Allah. Tegasnya, jika patuh, manfaatnya untuk
manusia. Jika engkar, mudaratnya juga untuk manusia.
Namun,
walau sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada
Allah, kita akan merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya.
Jika Allah sudah permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan
mampu mengatasinya. Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan
sifat sabar, istiqamah, syukur dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah
perjuangan para Rasul dan nabi serta sahabat-sahabat Rasulullah... kita
akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup menderita, tersiksa bahkan
terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah?
Renungilah
betapa Sumayyah rela mengorbankan nyawanya. Begitu juga Mus'ab bin
Umair, Hanzalah, Jaafar bin Abi Talib, Abdullah ibnu Rawahah... mereka
semuanya telah syahid di jalan Allah. Apakah itu susah buat mereka?
Mereka sangat menghayati apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
"Jagalah
Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah
ketika dalam keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan
sempit. Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan
menimpamu dan sesuatu yang menimpamu tidak akan dapat luput darimu.
Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran, kelapangan itu
menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran." Riwayat
Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya'agal
Mereka
sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia
dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah
telah melembutkan hati-hati mereka. Benarlah bila hendak seribu daya,
bila mahu sejuta cara. Kemahuan dan keinginan mereka itu hakikat
didorong oleh Allah. Untuk itu, mintalah simpati dari Allah untuk
memudahkan kita mendekatkan diri kepada-Nya.
Bagaimana
memohon simpati daripada Allah? Tidak lain dengan cara berdoa
kepada-Nya. Doa itu adalah senjata orang mukmin. Maksudnya, doa ialah
alat atau ubat yang paling mustajab dan mujarab untuk mendapat hati yang
lunak dengan Allah. Namun harus diingat, doa bukanlah usaha
‘pemberitahuan' kehendak-kehendak kita kepada Allah ( kerana tanpa
diberitahupun Allah sedia mengetahui), namun doa hakikatnya usaha
‘penyerahan' diri kita kepada-Nya.
Orang
yang berdoa ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaannya di
hadapan kekuasaan Allah. Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya,
rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat
kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah. Kita
nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya sifat keagungan dan
kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita tagihkan
simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.
Hanya
dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan.
Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya.
Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan
mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang
penuh cabaran ini.
Bila
Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa
kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua
keadaan kita akan mendapat ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita
syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita
sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan
hati yang sebegini?
Itulah
hakikatnya syukur - pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah,
mengucapkan tahmid (pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan
segala nikmat hakikatnya daripada Allah bukan daripada usaha atau
ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak punya apa-apa kesan berbanding
takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan tindakan, yakni menggunakan
segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan
nikmat itu.
Jika Allah
berikan harta, kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan. Jika diberi
ilmu, kita mengajar orang lain. Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil
dan saksama! Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat.
Ertinya, kita kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).