Apa Erti Saya Menganut ISLAM?
“Apa erti saya menganut Islam?”, tidakkah soalan itu soalan yang tidak patut ditanya?
Tidak
masuk akal untuk seseorang itu menjadi Muslim tetapi belum pernah
memikirkan erti keIslamannya. Memilih sesuatu tanpa mengetahui apa yang
dipilih?
Tidak…
bukan begitu soalannya. Selama ini tidak pernah pun membuat pilihan,
melainkan segalanya diterima secara kebetulan. Islam warisan. Islam yang
turun dari emak ke anak, sebagaimana turunnya warna mata dan kerinting
rambut.
Tanpa
pernah memilih Islam, seorang Muslim mungkin menjadi musuh kepada
keIslamannya sendiri. Menjadi perosak kepada agama yang dimeterakan ke
pengenalan dirinya. Dia bukan sahaja gagal menikmati Islam yang
dianutinya, malah dia mungkin sampai menganggap racun keIslamannya
lantas meracuni orang lain dengan perbuatan-perbuatannya yang
menyesatkan persepsi orang lain tentang erti Islam yang sebenar.
Sulitnya
lagi, menjawab persoalan “apa erti saya menganut Islam” bukan pada
perkataan dan penjelasan lisan, tetapi melalui perbuatan.
Perbuatan kepada Tuhan
Perbuatan kepada sesama insan
Perbuatan kepada alam
Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian
Kesemua
jawapan tentang “apa erti saya menganut Islam”, jawapannya diungkap
pada perbuatan. Apa erti saya menganut Islam adalah persoalan yang
mengkritik perbuatan berdasarkan kepercayaan. Apa yang kamu percaya, dan
apakah kesan kepercayaan kamu kepada perbuatan seharianmu.
PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN
Islam itu penyerahan…
Islam itu ketundukan…
Islam itu kesejahteraan…
Islam itu adalah penyerahan dan ketundukan yang menghasilkan kesejahteraan.
Soalnya, kepada apakah seorang Muslim itu berserah dan tunduk akur? Kesejahteraan apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini.
Secara
cliché, seorang Muslim berkata, “sebagai Muslim, saya berserah dan
tunduk kepada Allah dan dengan perbuatan itu berhasillah saya mencapai
kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat”.
Sedap
jawapannya, menepati skema ukuran kertas jawapan. Tetapi terjawabkah
persoalan kehidupannya dengan jawapan sebegitu di atas kertas jawapan?
Jika begitu tepat seorang Muslim mendefiniskan keIslamannya sebagai
tunduk dan berserah kepada Tuhan, mengapakah kesejahteraan hilang dari
dunia Muslim zaman berzaman? Mengapakah segala yang sakit dan tenat itu
kita temui dalam catatan kehidupan Muslim yang kebelakangan?
“Saya
hairan apabila ustaz begitu yakin menyebut bahawa masa depan adalah
milik Islam. Kenapa saya tidak memiliki keyakinan yang sama?”, tanya
seorang peserta PUISI 2007.
Ya,
hingga begitu sekali seorang Muslim menimbulkan pertanyaan. Saya tidak
menyalahkan penyoal dan soalan kerana ia adalah pertanyaan yang tulen.
Pertanyaan yang memberikan kesimpulan bahawa empat hari berkampung di
Bukit Melleray, Co. Waterford bukan jawapan penuh kepada menjawab
persoalan APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM… bahawa dua muka surat tulisan
Fathi Yakan tentang “meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam”
adalah jauh dari upaya menjustifikasi ucapan-ucapan kita agar bukan
sekadar slogan dan retorik angan-angan.
HAKIKAT PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN
Allah
SWT tidak akan menjelma lantas manusia yang sujud di ‘kaki’-Nya boleh
mendakwa saya telah tunduk dan berserah kepada Tuhan. Maka bagaimanakah
seorang manusia itu dengan mudah boleh berkata, saya telah tunduk kepada
Dia?
Ya… maka manusia mesti lebih kritis dalam menjawab dan meyakini jawapannya.
Mari kita pinjam semula kisah Pak Haji dan Ah Chong…
Pak
Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna
solatnya, puasanya dan zakatnya. Soalan “apa erti saya menganut Islam”,
telah Pak Haji jawab dengan mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.
Pak Haji menanam jagung.
Turun
ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih,
dibenam ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat
lagi.
Di
seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong.
Jangankan haji, halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak
pernah dipeduli. Soalan “apa erti saya menganut Islam” bukan soalan
hidupnya, kerana hidupnya hanya pada makan, minum, tidur, kerja, rehat,
kahwin.
Ah Chong menanam jagung.
Turun
ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi.
Dengan dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih
terbaik. Ditanam semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas.
Dibuat saluran air, agar lebihan siram tidak bertakung merosakkan benih.
Batas dilindung dengan rumput kering selepas baja ditabur mengikut
sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang hidupnya
juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan anak
pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar
di pondok usang, berehat dan makan menanti petang.
Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50 hari untuk menuai.
Jawablah
soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian
masing-masing. Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?
Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur dan sejahtera.
Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?
Allah…
Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?
Pak Haji…
Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?
Mengapakah
sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan
hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah
dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?
MUSLIM DI LADANG JAGUNG
Jika
Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang
Muslim di medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?
Mungkin
soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali
kenyataan Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata
Muhammad Abduh:
“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”
Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq
terhadap makhluq bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem
bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur
dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan
oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah?
Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam
jagung?
Ketentuan
Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti
benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang
kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.
Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?
Jawapannya… Ah Chong.
Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).
Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.
Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!
TAUBAT SAINTIFIK
Bagaimanakah
pula jika Pak Haji mengubah salah tanggapnya itu tadi? Turun ke kebun
seawal 7 pagi, bekerja secara optimum dengan teknologi terkini dalam
penanaman jagungnya kali ini dan dalam masa yang sama, Pak Haji terus
komited dengan solatnya, dengan puasanya, dengan zakatnya dan pada
ketaatannya sebagai apa yang selama ini dinamakannya sebagai ‘kerja
Islam’.
Pak Haji mendapat tuaian jagung 50kg, sebagaimana Ah Chong yang juga mendapat hasil yang sama. Apakah kini mereka telah sama?
Jawapannya YA dan jawapannya juga TIDAK.
Ya,
mereka berdua saling mendapat kesejahteraan dalam ekonomi dan pertanian
kerana beroleh hasil yang seimbang pada penilaian dan ukuran.
KESEJAHTERAAN HIDUP
Tetapi,
pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama.
Pak Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup
Pak Haji ada bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus
berusaha. Ada bahagian yang boleh disedekah dan ahli keluarganya
mendapat tenang dan sejahtera.
Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang membanyakkan.
Ah
Chong beroleh 50kg, tetapi jiwanya tidak pernah berasa cukup. Bukan
sahaja beliau tertekan untuk berusaha malah mengintai peluang untuk
mengambil bahagian di tangan orang lain. Hidupnya gundah gelana, makan
cukup tetapi jiwa tidak tenteram. Selepas kenyang, dia kembali lapar.
Selepas lena, matanya kembali terjaga. Banyak persoalan yang membelenggu
kehidupan. Apa ertinya hidupku ini.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan alam melalui sains pertanian.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan sesama insan dengan nafkah minum makan yang dibekalkan.
Tetapi
Ah Chong takutkan kematian kerana ia noktah akhir segala usahanya yang
dikerjakan seharian. Ah Chong tidak pasti dengan jawapan, apakah erti
hidupnya ini, sebelum dia bertemu jawapan apakah erti yang ingin dibawa
menjelang mati.
Semuanya
kerana Ah Chong tidak menyelesaikan persoalan hubungannya dengan Tuhan.
Dunianya sempit kerana disempitkan oleh cara dia melihat kehidupan. Dia
tidak beroleh kesejahteraan. Dia gagal memaknakan dunia kerana tidak
bertemu jalan menuju Akhirat.
Ah Chong mungkin mengambil keputusan untuk menghancurkan kehidupan ketika berada di puncak pencapaian.
INILAH SIFIRNYA
Kesejahteraan
adalah hasil ketundukan dan penyerahan. Kesejahteraan jiwa dan
kehidupan beragama, kesejahteraan ekonomi, politik dan sistem sosial.
Ketundukan dan penyerahan kepada Tuhan melalui sistem Tuhan pada mengatur alam ciptaan-Nya ini.
Di
sinilah peraturan Allah diterjemahkan sebagai sains dan hukum alam.
Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada sains adalah sebahagian
daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.
Ketundukan
dan penyerahan manusia kepada cara dia berhubung dengan Dia… pada
ibadah dan ritual amalan yang sejahtera. Ibadah yang majhul hingga
terdidik melalui seorang perantara yang mengungkapkan wahyu di dalam
ajaran bernama Syariah. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada
Syariatullah adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut
Islam”.
PERATURAN YANG MENYELURUH
Solat seperti kita melihat Nabi SAW bersolat
Memperelokkan sembelihan dengan menggunakan pisau yang tajam
Keluasan
ilmu pada teknik menanam tamar, “kamu lebih tahu akan urusan duniamu”…
kesemuanya diungkapkan pada perintah Syariatullah, dan keluasan ruang
untuk penerokaan sains dan Sunnatullah…
APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?
Iaitulah
pada menghasilkan Muslim yang mematuhi sains yang menafsirkan sistem
Allah dalam hubungannya dengan alam dan sesama insan.
iaitulah
pada menghasilkan Muslim yang mematuhi syariat yang menafsirkan sistem
Allah dalam hubungannya dengan Tuhan pencipta alam dan insan.
Muslim itu adalah manusia yang SAINTIFIK lagi SYARIATIK
No comments:
Post a Comment