Pemimpin Yang Rendah Diri ;
Salman Al-Farisi tergolong sebagai salah seorang sahabat Rasulullah
saw. Beliau berasal dari negeri Parsi. Pernah di masa hidupnya, Salman
telah diberi jawatan sebagai Gabenor di salah sebuah jajahan takluk
Islam. Namun demikian kedudukannya itu tidak sedikit pun mengubah
keperibadiannya yang penyantun, rendah diri, serta zuhud terhadap
kemewahan dunia. Pada suatu hari, diriwayatkan seorang rakyat awam tanpa
mengenali Salman terus menariknya secara kasar lalu menyuruhnya
melakukan suatu kerja yang berat. Orang itu menjumpai Salman ketika
berada di tepi jalan. Ia mempunyai sebuah karung besar lalu menyuruh
Salman memikulnya sampai ke rumah.
Tanpa banyak soal Salman
terus memikulnya. Di pertengahan jalan, seorang lelaki telah memberi
salam kepadanya. Alangkah terkejutnya melihat Salman memikul karung.
Lalu berkata: "Wahai tuan! Tahukah tuan bahawa orang yang memikul karung
tuan itu adalah Salman Al-Farisi, Amir negeri kita ini." Terkejut
lelaki itu mendengarnya, apabila dikenangkan orang yang dikasarinya itu
adalah gabenornya sendiri. Lantas dia meminta maaf lalu menyuruh Salman
menurunkan karung yang sedang dipikulnya itu. Tetapi Salman menjawab:
"Oh tidak mengapa tuan. Biarlah saya memikul barang tuan ini hingga
sampai ke rumah tuan". Demikianlah ketinggian budi pekerti Salman
Al-Farisi, salah seorang sahabat Rasulullh saw. yang tidak mementingkan
darjat kedudukan.
No comments:
Post a Comment