Apabila Terpaksa Memilih Antara Dua
Apabila Terpaksa Memilih Antara Dua
Pusing
kiri tidak kena, pusing kanan pun tidak kena. Malam sudah hampir
berlabuh, pagi sudah hampir memperlihatkan dirinya, namun kedinginan
malam ini tidak sedikit pun mampu mendodoikan aku.
Sudah
puas ku cuba untuk melelapkan mata ini walaupun sekejap cuma, namun
diriku masih tidak mampu mengalihkan perhatian mindaku ini yang masih
ligat memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk permasalahanku.
Kualunkan
zikir-zikir hingga membasahi bibirku namun masih belum juga mampu untuk
melenakanku. Ternyata begitu seksanya apabila nikmat Allah S.W.T itu
telah ditarik. Aku menangis. Ya Allah, betapa sukarnya untuk membuat
pilihan . Apa juga keputusan yang ku buat, pasti ada hati yang bakal
terluka, walau hakikatnya aku lah yang pertama akan merasai luka itu.
'Aku buntu Ya Allah,"
'Aku buntu Ya Allah,"
Kubangkit
dari tempatku berbaring lalu mencapai buku kecil yang pernah kubeli
suatu ketika dahulu, namun tidak pernah kuteliti isi kandungannya. Ia
bertajuk 'MISTERI SOLAT SUNAT ISTIKHARAH'.
Setelah berwuduk, aku menunaikan solat sunat istikharah itu, buat
pertama kali dalam jiwaku terasa gementar saat bibir melafazkan niat,
menyatakan tujuan bertemu Allah di saat manusia lain sedang enak
diselimuti gebar. Cemburunya aku! Air mata tidak tertanggung dek
kelopak, lalu meluncur laju membasahi telekung. Betapa kerdilnya terasa,
sehingga mahu membuat pilihan pun harus meminta bantuan Allah S.W.T.
Kurasakan
itulah solatku yang paling khusyuk, yang pernah aku lakukan. Tidak
pernah aku merasakan diri aku sedekat ini dengan Penciptaku. Air mata
semakin laju saat aku kulantunkan doa solat istikharah. Ya Allah, aku
mohon pilihan kepadaMu dengan ilmuMu, aku mohon petunjuk dengan
kudratMu, dan aku mohon kurniaMu yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau
Maha Berkuasa dan aku tidak berdaya, Engkau Yang Maha Mengetahui dan aku
tidak mengetahui, dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Aku berteleku di sejadah.
Aku berteleku di sejadah.
"Sesiapa yang terluka Ya Allah, Engkau ubatilah luka mereka. Aku tidak mampu, lalu aku berserah kepada-Mu Ya Allah,"
Aku
lena dalam air mata. Nikmatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui.
Esoknya, aku dipertemukan dengan hamba Allah yang mampu menolongku
membuat pilihan. Melalui perbincangan dengannya, aku semakin jelas
dengan keputusan yang bakal aku lakukan. Syukur Ya Allah kerana
bebananku semakin berkurangan.
Hidup
ini dibentangkan dengan pelbagai pilihan. Mahu atau tidak, kita
terpaksa memilih antara dua atau lebih jalan yang terbentang. Malah,
hampir kesemua rutin dalam kehidupan kita memerlukan kita untuk menilai
dan memilih. Setiap pagi kita perlu memilih samada hendak bangun untuk
menunaikan solat subuh atau terus sahaja lena berulitkan mimpi indah.
Selain itu kita juga turut terpaksa memilih jenis lauk pauk yang ingin
kita masak, terutama sekiranya kita merupakan seorang isteri dan ibu.
Pendek kata kita perlu memilih untuk semua perkara yang hendak kita
lakukan. Namun, kadangkala akan datang kepada kita, saat yang begitu
sukar untuk kita sebagai manusia membuat pilihan apabila ia melibatkan
banyak pihak lebih-lebih lagi mereka yang kita sayangi.
Kutitipkan
nukilan ini dengan niat agar sesiapa yang sedang merasa tersepit,
mahupun yang sedang buntu untuk memilih agar meluahkan kebuntuan
tersebut kepada Allah S.W.T, salah satu caranya adalah dengan
mengerjakan solat sunat istikharah. Sebagai seorang pelajar, apabila
Allah S.W.T mengujiku dengan menarik semula nikmat tidurku, aku sudah
terasa resah dan buntu. Apatah lagi anda di luar sana yang berjawatan
tinggi dan mungkin merupakan orang-orang penting dalam sebuah
organisasi, sudah pasti anda semua terpaksa membuat keputusan yang lebih
besar daripadaku.Malah, kemungkinan besar keputusan itu bakal mengubah
nasib hidup seseorang. Allah S.W.T pasti akan membantu kita dengan
jalan-jalan yang tidak pernah terfikir oleh kita sekiranya kita rajin
berdoa kepadaNYA. Hanya Dia Yang Maha Pengatur, dan Dialah Yang
Mengetahui.
No comments:
Post a Comment