Di Mana Dia Di Hatimu?
Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu
Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu
meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan
menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar
jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada
tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati
baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan
juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji
seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau
jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing
ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini.
Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa
kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan
mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina
Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak
kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja
bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan
yang tinggi di sisiALLAH.Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu
ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya
daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar.
Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang
sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya
walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH
ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta
ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta
yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ,
maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering
diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan
daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin
dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."
Kata-kata
itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung
dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila
bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang
aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku
membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah
aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib
sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku
meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok
ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan
ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal
yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat
mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia
menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak.
Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya
kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat
berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya
bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."
Maksudnya,
jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar
bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang
hina dan berdosa ini.
Di hatiku
masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta
ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat
sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku
hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar
ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku
yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."
Justeru, kerana belum ada DIA di
hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku
akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA
lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah
aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin...
suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...
No comments:
Post a Comment