Muslim di Sudut Ibadah.
1. Saya mestilah memastikan ibadah saya mempunyai hubungan
dengan Tuhan yang disembah. Inilah yang dikatakan martabat “keihsanan dalam
ibadah”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam sendiri pernah ditanya (oleh
malaikat Jibril) tentang martabat “ihsan” ini, lalu baginda menjawab:
“Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau
melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya (sekalipun) sebenarnya Dia melihat
engkau”. (Muttafaqun ‘alaih)
2. Saya mestilah melakukan ibadah dengan penuh khusyuk
sehingga dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan
kepada saya untuk berterusan mengerjakannya.
Aisyah radiyallahu ‘anha mengatakan:
“Adalah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam berbicara
dengan kami dan kami juga berbicara dengannya tetapi bila tiba saja waktu
sembahyang ia seolah-olah tidak mengenali kami dan kami pula tidak mengenalinya”.
(Hadith diriwayatkan oleh Al-Azdi)
3. Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai
kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hiruk-pikuknya.
Beribadah dalam keadaan seperti inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu
‘alaihi Wasallam dalam sabdanya:
“Allah Subhanahu Wata’ala tidak memandang kepada solat seorang
lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati beserta gerak badannya”.
4. Saya mesti beribadah dalam keadaan sentiasa ingin
menambahnya, tidak merasa cukup dan tidak kenyang. Saya perlu menghampirkan
diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
5. Saya mestilah mengambil berat terhadap ibadah Qiamullail
serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Ini adalah
kerana Qiamullail itu adalah menjadi sumber kekuatan yang memantapkan iman.
Sungguh benar firman Allah:
“Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat
(untuk khusyuk) dan bacaan (Al-Quran) pada waktu itu lebih berkesan”.
(Al-Muzammil : Ayat 6)
6. Saya mestilah meluangkan waktu tertentu untuk membaca
Al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya terutama di waktu dhuha
kerana Allah berfirman:
“Sesungguhnya membaca Al-Quran di waktu fajar itu disaksikan
(oleh para malaikat)”. (Al-Isra’ : Ayat 78)
7. Saya mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan
Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala ibadah.
Untuk itu, saya mestilah memilih doa-doa yang ma’thur daripada Rasulullah Sallallahu
‘alaihi Wasallam. Sungguh benar firman Allah :
“Mintalah doa kepadaku, nescaya Aku akan memperkenankan
permintaanmu”.
No comments:
Post a Comment