Fikir Untuk Memilih Pemimpin
Pemimpin Harus Rampas Harta
Setiap
individu Islam yang beraqal waras dan sihat wajib memikir dengan
bersungguh untuk mengenali pimpinan mereka dan juga setiap bakal
pemimpin. Wajib juga mereka membuat segala usaha termampu untuk
mengetahui sikap, kecenderungan, track record dan
kekuatan para pemimpin yang INGIN dipilih khususnya di dalam sebuah
negara yang mengamalkan perlantikan melalui proses pilihanraya, atau
juga melalui proses perlantikan khusus.
Ada
yang mengajukan pertanyaan kepada saya sama ada di dalam Islam seorang
pemimpin boleh mengambil hak milik individu seseorang sama ada hak
kebebasannya, hak hartanya atau lainnya. Benarkah jawapannya adalah
HARUS ? dan adakah asas di dalam Islam yang membenarkannya?.
SEJARAH PANDUAN
Khalifah
Umar al-Khattab pernah menunaikan umrah ada bulan Rejab tahun 17
Hijrah. Masjid al-haram di zaman Nabi s.a.w dan pemerintahan Abu Bakar
As-Siddiq tidak mempunyai sebarang pagar yang mengelilingi masjid, yang
ada hanya ruang halaman untuk tawaf. Namun apabila bilangan umat Islam
bertambah, halaman yang dahulunya selesa sudah menjadi sempit sehingga
boleh memudaratkan para tetamu Allah.
Keadaan
ini menyebabkan Umar r.a berfikir untuk memperluaskan halaman tawaf.
Untuk tujuan tersebut Umar r.a membeli beberapa buah rumah di sekitar
masjid, seterusnya diruntuhkan dan ditukar menjadi ruang halaman tawaf.
Namun demikian, beberapa pemilik rumah di sekitar Masjid Al-Haram enggan menjualkan rumah mereka kepada kerajaan, walaupun telah ditawarkan dengan harga yang munasabah lagi adil.
Akhirnya,
Khalifah umar mengambil keputusan merampas dan meruntuhkan rumah-rumah
tersebut dan meletakkan bayaran pampasan yang adil dan mencukupi di
Baitul Mal bagi diambil kemudiannya oleh pemilik-pemilik rumah. Ia
diletakkan di Baitul Mal kerana pemilik rumah berdegil enggan berurusan.
Akhirnya, mereka pergi juga mengambil wang pampasan mereka.
Peristiwa yang hampir sama juga berlaku ketika khalifah Umar r.a inigin memperbesarkan masjid Nabawi. [1]Khalifah
Uthman r.a turut melakukan hal yang sama ketika masjidil haram
memerlukan lagi pembesaran dan turut berhadapan dengan beberapa pemilik
rumah yang enggan, lalu dirampas dan diberikan pampasan yang adil dan
sesuai.
Memang
benar, semua tindakan ini jelas harus di dalam Islam, ia merupakan
sebuah kuasa khusus diiktiraf oleh hukum Islam, khusus diberikan kepada
sang pemimpin yang amanah mendahulukan keutamaan awam. Namun demikian,
tentunya ia bersyarat, antara syaratnya seperti :-
1) Mestilah dilakukan permohonan kepada pemilik terlebih dahulu.
2) Rayuan dan rundingan bersama pemilik.
3) Memberikan harga pampasan yang adil lagi saksama.
4) Rampasan
benar-benar dilakukan HANYA untuk tujuan dan maslahat umum, tiada
kaitan dengan puladengan keuntungan peribadi sang pemimpin. Tidak juga
memberikan sebarang keuntungan kewangan peribadi kepada pemimpin.
Tatkala
syarat ini dipenuhi, rampasan dan pencerobohan hak individu dianggap
harus dan tergolong di dalam kaedah Fiqh yang menegaskan :-
يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام
Ertinya :"Kemudaratan yang bersifat khusus (kepada individu) terpaksa ditanggung demi menolak kemudaratan umum"
SEBAB ITULAH ....
Memang
benar, keredhaan menjadi antara syarat utama dalam sebuah proses jual
beli biasa, namun demikian sebuah paksaan boleh dijatuh dan ditentukan
oleh SANG PEMIMPIN demi menjaga kebaikan umum, Peruntukan kuasa yang
diijktiraf oleh islam ini menjadikan pemilihan dan perlantikan seseorang
pemimpin menjadi amat penting buat setiap individu masyaratkat.
Ini
kerana di dalam sistem pilihanraya berparlimen, rakyat patut faham,
tiada siapa yang boleh melepaskan diri dari tanggungjawab memilih yang
terbaik kerana kelak, pimpinan yang naik itu punyai peruntukan untuk
merampas hak milik individunya HANYA DENGAN alasan kepnetingan dan
kemaslahatan awam yang DITENTU DAN DINILAIKAN SENDIRI oleh pemimpin
tersebut. Jika korup dan buruk iman pimpinan itu, buruklah pula
penilaian ‘kepentingan awamnya'.
MALANGLAH...
Justeru
itu, amat malanglah jika seorang pemimpin buruk budi pekerti terpilih
lalu kelak nanti mereka akan menggunakan kuasa yang diiktiraf Islam ini,
BUKAN LAGI atas penilaian yang adil dan saksama serta kepentingan umum
yang disyaratkan Islam, tetapi diubah dan dihalalkan bagi menjayakan
nafsu dan kepentingan peribadinya. Kepentingan peribadinya dianggap
kepentingan umum. Tatkala itu, siapa yang ingin dipersalah?
Atas
kefahaman ini, TIDAK BOLEH seorang pengundi yang waras AQALNYA, lagi
mampu tubuhnya melarikan diri dari tanggungjawab mengundi, mengasingkan
diri dari pemilihan dan tidak memberikan pandangan dalam perlantikan
pengundian dan lainnya.
Jika
masih malas dan berdegil tunggulah nanti hak peribadi di rampas atas
nama kepentingan umum yang palsu. Tatkala itu, menyesal sudah tidak lagi
beerti. Fikirkanlah sebaik dan sewarasnya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment