Merindui Ainaa’ul Mardhiyah
Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdul Wahid bin Zaid:
“Pada
suatu hari ketika kami di dalam satu majlis persiapan untuk pergi
berjihad, aku memerintahkan kawan-kawanku untuk keluar ke medan
peperangan, lalu seorang daripada kami membacakan ayat 111 surah
at-Taubah yang bermaksud:
“Sungguh Allah SWT telah membeli dari kaum mukminin jiwa dan harta mereka dengan di bayar syurga.”
Di
dalam majlis itu ada seorang pemuda berumur 15 tahun. Beliau yang baru
kematian bapanya telah menerima harta waris yang banyak telah berkata:
“Ya Abdul Wahid, aku bersaksikan padamu untuk menjualkan diri dan hartaku untuk mendapatkan syurga itu.”
Subhanallah,
masih adakah remaja seusia 15 tahun mampu berdiri teguh dan
mengungkapkan semangat jihad dan kecintaaannya pada syurga Allah
sehingga sanggup memberikan segala hartanya?
Abdul
Wahid lantas berkata kepada anak muda itu: “Sungguh berat untuk
menghadapi tajamnya pedang sedangkan kamu masih kanak-kanak, aku takut
kamu tidak tabah, juga tidak sabar untuk menghadapinya sehingga tidak
kuat meneruskan penjualanmu itu.”
Pemuda
itu lantas berkata: “Wahai Abdul Wahid, apakah aku akan lemah kalau aku
menjualkan diriku pada Allah SWT? Aku persaksikan padamu sekali lagi
bahawa aku telah menjualkan diriku pada Allah SWT.”
Maka pemuda itu menyerahkan semua hartanya yang ada kecuali pedang, kuda dan sedikit bekalan untuk ke medan perang.
Inilah
pemuda yang dirindui umat saat ini. Mempersiapkan diri, ilmu, harta dan
kemewahan untuk Deenul Islam. Tatkala semboyan jihad berseru, ia tampil
ke hadapan menyerahkan harta dan jiwanya untuk Islam. Inilah kualiti
pemuda yang seharusnya ada dalam diri kita. Bukan sekadar berfikir untuk
diri sendiri semata atau sekadar mengisi perut sendiri sahaja dan
mengumpul kekayaan untuk memenuhi kehendak peribadi.
Abdul
Wahid meneruskan ceritanya. Ternyata pemuda tadi benar-benar mengotakan
janjinya. Orang yang pertama sampai untuk berangkat ke medan perang
adalah pemuda tersebut. Ketika perjalanan, pemuda itu berpuasa di siang
hari dan bangun solat serta menjaga keselamatan di malam hari. Ketika
sampai di sempadan negeri Rom, suatu hari saat selepas waktu Asar,
pemuda itu meluru sambil menyeru:
“Alangkah rindunya aku akan Ainaa’ul Mardhiyah.”
Lalu Abdul Wahid bertanya kepadanya: “Wahai kesayanganku, siapakah itu Ainaa’ul Mardhiyah?”
Pemuda
itu menjawab: “ Tadi aku tertidur sebentar. Aku bermimpi seorang datang
kepadaku seraya berkata, mari aku bawa kamu bertemu Ainaa’ul Mardhiyah.
Aku di bawa ke satu taman yang sangat cantik. Di situ ada sungai yang
airnya sangat jernih. Aku melihat ramai gadis yang kecantikan mereka
tidak dapat aku gambarkan, lengkap dengan perhiasan sedang bermain di
taman itu. Apabila mereka menyedari kehadiranku, dengan wajah teramat
gembira mereka berkata, demi Allah, itulah suami Ainaa’ul Mardhiyah.
Lalu aku memberikan salam kepada mereka dan bertanya apakah di sini
tempat Ainaa’ul Mardhiyah? Mereka menjawab salamku dan berkata, tidak
kami hanyalah budak dan pelayan, majulah kamu ke hadapan lagi.”
Pemuda
itu meneruskan ceritanya: “ Akupun meneruskan perjalananku sehingga
sampai ke satu taman yang ada sungai susu yang tidak berubah rasa.
Kehadiranku disambut oleh sekumpulan gadis yang lebih cantik dari yang
pernah kulihat sebelum mereka. Mereka berkata, demi Allah lihatlah,
suami Ainaa’ul Mardhiyah sudah sampai. Akupun memberikan salam kepada
mereka dan bertanya apakah ada kalangan mereka Ainaa’ul Mardhiyah?
Mereka menjawab salamku dan berkata bahawa mereka hanyalah budak dan
pelayan Ainaa’ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku meneruskan
perjalananku.”
Pemuda
itu berkata lagi: “Aku meneruskan perjalananku sehingga sampai ke satu
lembah yang ada sungai khamar pula. Di situ ramai gadis sedang
bersukaria, yang mana mereka lebih cantik sehingga menyebabkan aku lupa
akan kecantikan gadis-gadis yang aku lihat sebelumnya. Akupun memberikan
salam kepada mereka dan bertanya apakah ada kalangan mereka Ainaa’ul
Mardhiyah? Mereka juga berkata tidak dan berkata bahawa mereka hanyalah
budak dan pelayan Ainaa’ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku meneruskan
perjalananku ke hadapan.”
Pemuda
itu menyambung ceritanya: “ Aku kemudian bertemu pula dengan sungai
madu di dalam satu kebun. Kulihat kebun itu dipenuhi dengan ramai gadis
yang bagaikan cahaya dalam kecantikan mereka. Akupun mengucapkan salam
kepada mereka dan bertanya apakah ada kalangan mereka Ainaa’ul
Mardhiyah? Mereka menjawab salamku dan berkata bahawa mereka hanyalah
budak dan pelayan Ainaa’ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku maju ke
hadapan.”
Pemuda
itu mengakhirkan ceritanya: Akupun meneruskan perjalanan. Kemudian aku
sampai pada satu khemah yang diperbuat dari permata yang indah. Kulihat
ada seorang gadis putih bersinar kemerah-merahan yang lebih cantik dari
sebelumnya sedang menjaga pintu khemah tersebut. Setelah ia melihat akan
kehadiranku, dengan nada gembira ia berseru, wahai Ainaa’ul Mardhiyah,
suami kamu sudah sampai. Akupun menuju khemah tersebut. Di dalam khemah
itu ada satu tempat tidur yang diperbuat dari emas yang bertaburan
dengan berlian. Sungguh aku terpesona bila aku melihat akan kehadiran
seorang gadis yang sangat cantik rupawan, menatapku dalam senyuman duduk
di atas tempat tidur berkenaan. Dengan alunan suara merdu ia
menyambutku di gerbang pintu syurga dengan kalimat, “Marhaban bi waliyir Rahman”,
sudah terlalu hampir saat pertemuan kita.Aku ingin menghampirinya,
lantas Ainaa’ul Mardhiyah berkata kepadaku, sabarlah dahulu wahai
kekandaku kerana belum tiba masanya. Kamukan masih hidup di alam dunia.
Nanti bila malam, kamu akan berbuka puasa di sini, insyaallah. Kemudian
akupun tersedar dari tidurku. Wahai Abdul Wahid, aku rasa tidak sabar
lagi.”
Abdul
Wahid berkata, “Belum sempat pemuda itu menghabiskan kata-katanya,
tiba-tiba kami di serang oleh pasukan musuh. Bersama pemuda itu kami
melakukan serangan balas. Setelah Berjaya pemuda itu membunuh Sembilan
orang tentera kafir, akhirnya aku melihat pemuda itu rebah. Akupun
segera menuju kepadanya. Dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah,
kulihat pemuda itu dalam keadaan tersenyum sehinggalah ia syahid
meninggal dunia.”
Kisah
ini penulis kutip dari kitab “Kunci Mendapatkan Syurga Di Dunia dan Di
Akhirat” karya Dr. Aidh Al Qarni. Kisah pemuda luarbiasa ini seharusnya
memberikan inspirasi kepada para pemuda untuk tidak berlengah lagi
mempersiapkan dirinya untuk membela Islam. Peluang kita para pemuda
adalah cerah untuk bertemu dengan Ainaa’ul Mardhiyah. Kerana kita berada
dalam keadaan Islam telah kehilangan daulahnya. Dalam keadaaan sistem
Allah SWT tidak berjalan di atas muka bumi ini dan sistem taghut
bermaharajalela. Namun begitu wahai pemuda, perlulah kita memiliki
kualiti amal seperti suami Ainaa’ul Mardhiyah, pemuda luarbiasa. Beliau
mengajar kita untuk berjihad, memilih untuk menjual dirinya kepada Allah
SWT dengan harta dan jiwa raga. Sang pemuda, suami Ainaa’ul Mardhiyah
memiliki amal qawwi, ibadahnya luarbiasa dengan solat, puasa dan
tahajjud. Tidak salah untuk kita wahai pemuda merindui Ainaa’ul
Mardhiyah. Namun persiapkan dirimu, jangan berlengah lagi. Ainaa’ul
Mardhiyah sedia menantimu.
Semoga Allah memilih kita untuk menjadi pemuda berani yang mencintai akhirat dan syurga melebihi segalanya.
“(Itulah
dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke
tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk
hidayat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus
(yang selamat)” (Yunus: 25)
No comments:
Post a Comment