Kisah Ulama Sufi : Jauhi Sifat Berburuk Sangka dan Bangga diri (Ujub)
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat
buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong adalah sifat-sifat mazmumah
yang perlu kita jauhi. Tanpa kita sedari bahawa apabila sifat-sifat
ini telah bertapak dalam hati kita akan menyebabkan hati kita
berpenyakit dan akan merosakkan amalan kita kepada Allah S.W.T.
Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan al-Basri dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.
Suatu
hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda
duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak
sebotol arak. Lalu Hassan berbisik "Alangkah jahatnya orang itu dan
alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"
Tiba-tiba
Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam.
Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong
penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu
berjaya diselamatkan.
Kemudian
dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang
lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang
lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan
satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."
Bagaimanapun
Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu
bertanya padanya. "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya
ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan
arak. Ini hanya untuk menguji tuan."
Hassan
al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah
menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam
sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan
kesombongan."
Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."
Semenjak
itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan ia menganggap
dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai pengajaran untuk di ambil sebagai iktibar kisah diatas, terdapat dua cara untuk mengatasinya.
01.Jangan
berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya.
Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah jangan
menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba mencari aibnya.
Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah berkemugkinan orang
itu jahil tentang perbuatannya. Sebagai muhasabah diri sendiri pula,
kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ilmu
ini tetapi masih juga melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya.
Buruk
sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya disebut su' u
zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di hati kita. Lebih
parahnya, terkadang persangkaan kita tiada mempunyai asas dan tiada
alasan yang benar. Memang semata-mata sifat kita suka curiga dan penuh
sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam
di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada
orang lain. Padahal su'u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada
bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang.
02.Perkara
yang patut kita ingat adalah tentang diri kita iaitu perbuatan baik
orang pada kita dan perbuatan jahat kita pada orang lain. Perkara yang
patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang
pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan terhindar daripada
sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Sesungguhnya
orang-orang yang percaya pada keterangan Kami, ialah orang yang apabila
dibaca ayat-ayat itu kepada mereka, mereka sujud, tasbih memuji Tuhan
dan mereka tidak menyombongkan diri. Mereka meninggalkan tempat tidurnya
menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan
mereka membelanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang
Kami berikan kepada mereka," (Surah as-Sajadah:15-16)
No comments:
Post a Comment