SaLAM PeRsAuDaRaAn

Tuesday, September 4, 2012

MOTIVASI: YUKABID itu..,dan apa yang dilaluinya

Ramai manusia yang memandang enteng akan perintah Allah SWT. Ramai pula yang tidak termotivasi dalam melakukannya. Akhirnya, ramai manusia meninggalkannya.
Ada yang memberikan alasan payah, leceh, susah, rasa terkongkong dan sebagainya, untuk menjustifikasikan peninggalan syariat yang dilakukan oleh mereka. Apatah lagi, ramai yang menuntut agar ditunjukkan dahulu hikmahnya, ditunjukkan dahulu apa yang boleh mereka perolehi daripada ketaatan itu, agar mereka mampu melaksanakannya dengan baik.
Kadangkala, kita ini banyak songehannya. Kita tidak mampu hendak mempercayai Allah SWT 100%, meyakini sepenuhnya bahawa segala arahanNya itu adalah baik untuk kita. Kita masih ragu-ragu, dan merasakan bahawa tiada maknanya kita menuruti perintahNya. Susah sedikit, kita merungut banyak.
Di sinilah saya membawa satu contoh dalam menuruti perintah Allah SWT, agar kita renung-renungkan.
Contoh daripada Yukabid, ibu kepada Nabi Musa AS.

Apa yang terjadi kepada Yukabid
Ketika Yukabid ini melahirkan Nabi Musa AS, ketika itu jugalah Firaun sedang gencar mengarahkan askar-askarnya membunuh anak-anak lelaki Bani Israel yang baru lahir. Firaun telah bermimpi bahawa akan datang daripada Bani Israel ini lelaki yang akan menumbangkannya daripada kekuasaannya.
Yukabid berjaya menyimpan Nabi Musa AS dengan selamat buat beberapa waktu, sehinggalah tiba pula giliran askar tiba ke perkampungannya, dan mengetuk satu persatu rumah untuk diperiksa.
Ketika inilah Yukabid mula risau akan keselamatan anaknya Musa.
Bagaimanakah dia mampu menyelamatkan nyawa anak ini?
Perintah daripada Allah SWT
Ketika inilah, Allah SWT menurunkan arahan kepada Yukabid agar mengalirkan Musa ke Sungai Nil.
Perkara ini dinukilkan di dalam Al-Quran,
“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke Sungai Nil, maka biarlah aliran sungai itu membawanya terdampar ke tebing, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu(Musa); dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.” Surah Toha ayat 38-39.
Dan mari kita bayangkan situasi seorang Yukabid, dan realiti perintah tersebut.
Situasi Yukabid, dan realiti perintah tersebut
Kita perhatikan bahawa Yukabid adalah seorang perempuan, seorang ibu. Dia adalah Ibu kepada Musa, mengandungkannya selama 9 bulan lebih. Kemudian Musa lahir dengan selamat, pastinya seorang Ibu amat mencintai anaknya yang digendong di dalam perut sekian lama. Kelahiran itu satu kegembiraan, dan pasti seorang Ibu tidak akan mengorbankan anaknya. Kita biasa mendengar, ibu-ibu menjaga anak hingga kalau boleh, seekor nyamuk pun tidak dibenarkan untuk menggigit anaknya.
Itu situasi Yukabid. Dan bukanlah satu perkara yang mudah, apabila dia tiba-tiba mendapat perintah ghaib, yang entah datangnya daripada mana, mengarahkan agar anaknya itu dilepaskan ke Sungai Nil.
Realitinya, Sungai Nil adalah besar, dan bukanlah mustahil untuk anak di dalam bakul itu tenggelam sekiranya punya gangguan pada ketenangan aliran Sungai Nil. Realiti lagi adalah, arahan itu jelas menyatakan bahawa Musa ini akan dipungut oleh musuhnya, yakni keluarga Firaun. Siapakah yang akan melaksanakan perintah seperti itu? Sungguh merbahaya!
Jadi, apabila kita adun keadaan Yukabid, dan realiti perintah tersebut, pastinya pada akal fikiran biasa, kita tidak akan mentaati perintah tersebut. Kerana, perintah tersebut tidak cukup meyakinkan kita, tambahan, sebagaimana yang kita nyatakan tadi, AMAT MERBAHAYA.
Tetapi apa yang Yukabid itu percaya?
Tetapi Yukabid itu melepaskan juga Musa ke Sungai Nil.
Apakah motivasi seorang Yukabid, untuk tabah melaksanakan perintah itu?
Saya yakin, motivasi seorang Yukabid hanya satu. Keimanannya kepada janji Yang Memberikan Perintah itu. Apakah janji Si Pemberi Perintah?
Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke Sungai Nil, maka biarlah aliran sungai itu membawanya terdampar ke tebing, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu(Musa); dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.Surah Toha ayat 39.
Ya. Itu sahaja motivasi yang dia ada. Dan dia Percaya. Lantas MELAKSANAKAN perintah tadi.
Apakah yang diperolehi oleh seorang Yukabid?
Yukabid itu berjaya, dan benarlah Allah itu dengan janji-janjiNya
Yukabid itu berjaya. Keyakinannya tadi berbuah kemenangan.
Musa akhirnya selamat, bahkan dipungut oleh Asiah isteri Firaun yang menyebabkan Musa terjaga daripada dibunuh Firaun. Musa pula dilimpahkan sinar yang menyenangkan mata yang memandang, melembutkan hati sesiapa yang melihatnya.
Kakak kepada Musa, yang risaukan keadaannya, mengekori hingga ke Istana Firaun, dan apabila mendengar bahawa Asiah memerlukan seseorang untuk menyusukan Musa, segera Kakak Musa itu menawarkan seseorang, yakni Yukabid, ibunya sendiri.
Bersatulah kembali kedua-dua mereka. Terbuktilah bahawa Allah itu benar dengan janji-janjiNya. Hal ini direkodkan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
“Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya? Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu.” Surah Toha ayat 40.
Penutup: Itu Yukabid, dengan perintah yang amat sukar, dan janji yang amat ringan. Kita?
Itu Yukabid, menerima perintah yang sangat sukar, yang berisiko tinggi mengorbankan anak kesayangannya. Dan janji kepadanya pula hanya sepotong ayat sahaja. Tetapi Yukabid percaya, melaksanakannya, dan kita lihat bahawa Yukabid itu berjaya.
Kita bagaimana? Apakah Allah SWT menyuruh sesuatu yang teramat sukar kepada kita seperti mana arahanNya kepada seorang Yukabid? Adakah solat itu sesukar itu? Apakah berbuat baik itu sesukar itu? Apakah bercakap percakapan yang baik itu sesukar itu? Apakah jujur itu sesukar itu? Apakah puasa sesukar itu? Apakah bersedekah sesukar itu?
Dan apakah Allah SWT, kepada kita, hanya memberikan sepotong dua potong janji?
Tidak. Bahkan kalau kita perhatikan di dalam Al-Quran, terdapat janji-janjiNya yang tidak terbilang, untuk sesiapa yang mentaatiNya.
Tetapi kita bagaimana? Apa yang sedang kita lakukan?
Mengapa kita masih ragu-ragu dan tidak percaya?
Mengapa kita masih melengah-lengahkan diri untuk mentaatiNya?
Mari duduk sebentar, muhasabah diri, bandingkan kita dengan Yukabid, Ibu kepada Musa.
sumber:langitilahi
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonanorang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.(AL-Baqarah:186)

No comments:

Post a Comment

jom ReLax

hamster^_^

InDaHnYa IsLaM..

Andai Al-quran bisa bicara,ia berkata:"waktu kau masih anak2,kau bagai teman sejatiku,dgn wudhu kau sentuh aku,dlm keadaan suci kau pegang aku,kau baca dgn lirih dan keras,skrg kau telah dewasa,nampaknya kau tdk berminat lagi padaku,apakah aku bacaan usang?Skrg kau simpan aku dgn rapi,kau biarkan aku berlapis debu,ku mohon peganglah aku lg,bacalah aku setiap hari,kerana aku akn mnjd penerang didalam kuburmu!

cursor

Elegant Rose - Working In Background