SaLAM PeRsAuDaRaAn

Monday, September 3, 2012

Saya terjumpa rencana ini, saya baca kembali dan tertanya-tanya di manakah Amanda itu kini...ingin sekali ku temui dia!




AMANDA berlari-lari riang, dia seperti tidak kisahkan mengenai kesedihan yang begitu mencengkam kini. Bagaimana kesedihan itu dapat dimengertikan kerana Amanda hanya baru berusia dua tahun, terlalu muda. Sesekali dia datang mengecek duit dari bapanya, Adam Cheah Abdullah 50, untuk membeli keropok dan aiskrim katanya dari kedai berhampiran.

Namun apabila ditanya di mana ibunya kini berada, Amanda memberikan jawapan yang sangat jujur namun ia cukup memilukan sesiapa sahaja yang mendengar.

``Mummy, swimming!'' jawabnya girang.

Si ibu, Wan Mazira Md. Zain 35, antara yang terkorban dalam tragedi ombak Tsunami di pantai Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada 26 Disember lalu yang sama sekali begitu mengejutkan dan membuatkan seluruh rakyat tergamam!

Ketika kejadian Amanda yang didukung oleh pembantu rumah, Seri Yani Tarmizi dikatakan dapat melihat sendiri keadaan ibunya yang cuba menyelamatkan diri apabila masing-masing dengan tiba-tiba dipukul ombak yang sangat kuat pada tengahari, hari Ahad itu.

Ini yang memberikan kesimpulan kepada si kecil, ibunya `masih berenang'.

Mengenang kembali peristiwa pahit itu kata Adam, hari tersebut sepatutnya hari yang paling mengukir sejarah manis antara beliau dan Wan Mazira.

``Tarikh tersebut merupakan tarikh perkahwinan kami dan untuk tahun kesebelas, kami ingin menyambutnya dengan penuh kesyukuran dengan Pantai Tanjung Tokong sebagai saksi.

``Tetapi bagaimana dapat saya percaya sehingga sekarang, kerana isteri tersayang turut menjadi korban Tsunami, menjadikan 26 Disember kini sebagai tarikh yang memisahkan kami untuk selama-lamanya,'' ujarnya sedih.

Sesekali Adam tidak mampu mengungkapkan kata-kata kerana terlalu sedih apa tah lagi beliau ditemui ketika kenduri tahlil untuk arwah isteri sedang berlaku pada hari ketiga selepas jenazah Wan Mazira selamat di kebumikan pada pagi Isnin 26 Disember di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinchi.

Menurut Adam, beliau sama sekali tidak menyangka Wan Mazira antara yang ditelan ombak ganas Tsunami.

``Anak kami tidur di bilik hotel penginapan yang terletak berdekatan dengan pantai dan saya sangkakan ketika kejadian mereka semua masih berada di bilik,'' katanya.

Adam ketika itu bersama adik beradiknya yang seramai tujuh orang sedang sibuk melakukan pelbagai persiapan agar kegembiraan beliau menyambut ulang tahun perkahwinan itu dapat dikongsi bersama dengan mereka.

bertahan

``Ketika ombak pertama memukul pantai, kami masih mampu bertahan. Walaupun masing-masing terjatuh akibat dilantun ombak yang kuat tetapi kami kemudiannya cepat-cepat bangun untuk menyelamatkan barang-barang yang dihanyutkan air terutamanya beg duit, telefon bimbit dan kamera.

``Tetapi selang beberapa saat sahaja datang ombak kedua yang saya sendiri hampir terpaku kerana terkejut melihatkan ia begitu besar, tinggi dan datang tanpa ada sebarang tanda,'' katanya.

Adam tidak sempat menyelamatkan diri, kerana turut dihanyutkan ombak Tsunami dan hampir-hampir menyebabkan beliau kelemasan.

``Bayangkan air pada paras leher saya sahaja, bila-bila masa sahaja boleh menyebabkan sesiapa boleh mati kelemasan.

``Tetapi apabila saya dapat berpaut dengan kuat pada tembok di pantai, Allah masih panjangkan umur, saya terselamat, begitu juga adik beradik saya yang lain,'' katanya.

Namun saat dilanda ombak Tsunami itu disifatkan oleh Adam seperti berada di ambang maut dan walaupun hanya beberapa saat tetapi dirasakan masa seperti terhenti berdetik kerana terlalu lama ombak itu mengamuk dan menelan mangsa.

Belum sempat Adam menyudahkan ucap syukurnya kepada Allah kerana terselamat dalam kejadian ngeri itu, tiba-tiba beliau dikejutkan dengan jeritan Seri Yani yang ketika itu kelihatan basah kuyup sambil mendukung Amanda, yang kelihatan seperti terpinga-pinga.

Alangkah terkejutnya Adam apabila menyedari Wan Mazira tidak kelihatan bersama-sama dengan pembantu rumah dan anaknya itu.

Bertambah terkejut apabila Seri Yani menyuruhnya segera mencari Wan Mazira.

``Puan hilang! puan hilang! Tadi ada bersama saya sekarang sudah hilang, Tuan cari tuan, cepat tuan!'' jerit Seri Yani.

Walaupun masih terkejut dan sekujur tubuhnya masih sakit-sakit akibat dilambung ombak, Adam terpaksa berlawan dengan masa untuk mencari dan menyelamatkan isteri yang dilaporkan hilang itu.

``Tanpa menghirau diri sendiri yang turut mengalami sedikit kecederaan saya bergegas mencari Wan Mazira. Namun dari lokasi kali terakhir beliau dilihat sehinggalah di kawasan sekitar, saya tidak menemui Wan Mazira, puas saya cari sementara hari masih siang bagi memudahkan saya mencarinya, tapi...

``Malah saya juga cuba menghubungi telefon bimbitnya, tapi sudah tentu tiada siapa yang jawab malah sudah tiada talian pun...'' ujarnya sebak.

Sementara itu, Seri Yani berkata, ketika di bilik hotel, Allahyarham Wan Mazira dilihat begitu resah dan asyik berjalan ke hulur ke hilir kerana bimbang.

``Saya sendiri letih melihat Puan mundar mandir tidak ketentuan. Ini apabila Puan sendiri berasa hairan melihatkan keadaan ombak laut yang kami lihat sungguh berbeza.

``Dari balkoni bilik di tingkat 10 bangunan hotel, kami dapat melihat keadaan laut dengan begitu jelas. Ombak kelihatan beralun-alun dengan begitu deras seperti tidak sabar-sabar untuk menghempas ke pantai.

``Puan bimbangkan keselamatan suaminya di pantai. Apabila beliau menjengok dan dapat melihat suaminya itu, Puan dengan segera mahu menyertai mereka,'' katanya.

Bersama Amanda, Seri Yani dan arwah kemudiannya keluar dari bilik hotel dan berjalan menuju ke pantai.

``Pada mulanya Amanda dibiarkan berjalan di pasir pantai. Tetapi Amanda kemudiannya meminta didukung, katanya tapak kakinya geli berjalan di atas pasir. Saat itulah, di kala arwah Puan mahu mengambil kasut comel milik Amanda yang baru dibelinya di Haadyai, saat itulah juga kami mula dipukul ombak.

``Saya benar-benar panik tetapi sambil mendukung Amanda, cepat-cepat saya naik semula ke tangga batu untuk menyelamatkan diri dan yakin ketika itu juga arwah juga cuba lari untuk menyelamatkan diri.

``Tetapi apabila saya telah selamat berada di anak tangga paling atas, saya menoleh dan melihat arwah seperti masih tercegat di kaki tangga batu tersebut.

``Saya menjerit kepada arwah supaya segera lari ke atas kerana gelombang ombak kedua kelihatan lebih besar dan menakutkan sudah hampir untuk menghempas ke arah kami.

``Saya sendiri kemudiannya berlari membawa Amanda melihatkan ombak tersebut dan malangnya arwah tidak mampu menyelamatkan diri dan hilang ditelan ombak.

Hakikat

``Saat itu saya benar-benar menggigil ketakutan dan memeluk Amanda dengan erat,'' katanya.

Sehingga pukul 8.00 malam itu, ketika menunggu di ruang tunggu Rumah Mayat, akhirnya Adam terpaksa menerima hakikat yang cukup pahit apabila diberitahu jenazah isterinya itu dijumpai oleh pasukan penyelamat.

``Wan Mazira hanya mengalami sedikit luka tetapi arwah maut akibat kelemasan dek ombak yang besar dan ganas itu,'' katanya.

Menurut Adam lagi, mereka tidak sahaja menjadi sebahagian korban Tsunami namun sebelum itu beliau sekeluarga turut merasakan dahsyatnya gegaran dari kejadian gempa bumi yang berlaku di Aceh.

``Semasa di bilik hotel, kami dapat merasakan gegaran itu dan ia begitu menakutkan apabila semuanya bergoyang dan tidak stabil.

``Kami merasakan kedua-dua kejadian mala petaka ini dan tentunya ia bakal melekat dengan kuat dalam ingatan kami buat selama-lamanya,'' katanya.

Wan Mazira bertugas sebagai seorang pengarah sebuah syarikat pengiklanan dan ketika kejadian arwah baharu sahaja sebulan berpindah ke pejabat baru di Damansara.

Demi kasih sayang dan sifat keibuan yang tebal terhadap satu-satunya anak yang ada itu, Mazira juga telah mengubah suai pejabatnya dengan terdapatnya ruang untuknya bersama-sama dengan Amanda.

Beliau tidak sanggup berpisah dengan Amanda sehinggakan beliau bercadang untuk membawa si kecil itu setiap hari ke pejabat.

``Tidak sekadar itu, sebelum kami berada di Pulau Pinang semasa kejadian menyedihkan itu berlaku, kami sempat bercuti selama seminggu di Haadyai.

``Kesempatan ini diambil oleh Wan Mazira untuk membeli bermacam-macam `kenangan' terakhir untuk Amanda.

``Baju, barang mainan dan termasuklah sepasang kasut yang beliau cuba selamatkan dari dihanyutkan ombak Tsunami,'' ujar Adam dengan penuh sebak.

Adam menambah, Wan Mazira seperti mengerti perjalanan hidupnya, apabila pada sambutan Aidilfitri tahun lalu, arwah telah mengadakan satu majlis yang sungguh memberikan seribu satu makna.

``Tiba-tiba arwah bercadang untuk mengadakan majlis rumah terbuka untuk kawan-kawan lama kami. Mana yang sudah berpuluh tahun tidak berjumpa, Wan Mazira berusaha untuk mencari dan akhirnya semua dapat dikumpulkan di majlis itu.

``Tidak dapat disangka, majlis tersebut merupakan memberikan peluang untuk arwah bertemu dan bermaaf- maafan dengan teman-teman,'' katanya.

Tragedi ini sama sekali tidak menggugat keimanan beliau yang sering dianggap sebagai saudara baru.

``Saya tahu ini merupakan satu takdir dari Allah yang mahu menguji keimanan saya. Saya perlu terima walaupun sukar, supaya keimanan saya bertambah kuat terhadap-Nya.

``Cuma mengenangkan Amanda....'' katanya dalam nada penuh keharuan dan tersekat-sekat.

Adam ditinggalkan malam itu dan sesekali menoleh kebelakang dapat dilihat betapa beliau begitu erat memeluk Amanda.

``Saya tidak mungkin akan mengunjungi pantai lagi kerana ia terlalu mengingatkan saya pada tragedi ini dan mujur juga Amanda tidak suka sebab dia geli berjalan di atas pasir...'' antara kata-kata Adam yang masih terngiang-ngiang di telinga.

No comments:

Post a Comment

jom ReLax

hamster^_^

InDaHnYa IsLaM..

Andai Al-quran bisa bicara,ia berkata:"waktu kau masih anak2,kau bagai teman sejatiku,dgn wudhu kau sentuh aku,dlm keadaan suci kau pegang aku,kau baca dgn lirih dan keras,skrg kau telah dewasa,nampaknya kau tdk berminat lagi padaku,apakah aku bacaan usang?Skrg kau simpan aku dgn rapi,kau biarkan aku berlapis debu,ku mohon peganglah aku lg,bacalah aku setiap hari,kerana aku akn mnjd penerang didalam kuburmu!

cursor

Elegant Rose - Working In Background