SaLAM PeRsAuDaRaAn

Monday, December 20, 2010

~LENSA BERDARAH~

~LENSA BERDARAH~

***sebagai pengiktirafan seorg sahabat..=)..Karya hasil nukilan seorang sahabat saya,Kak Nurul Diana Jusoh...Perkongsian bersama..Shabat saya ini boleh maju kehadapan lg..insya-ALLAH x3..mari kita sama2 take advantage from their writing...***


Persinggahan ke Kota Makkah kelahiran Muhammad ini Afnan gunakan sebaik mungkin untuk mentaqarrubkan diri pada ALLAH yang sudi menjemputnya menunaikan ibadah Haji untuk tumpang bermunajat bersaksikan Kaabah nan suci. Kesempatan yang ada Afnan tidak lupa menitipkan seuntai doa buat bonda dan ayahanda yang telah lama pergi. Ya ALLAH…Kau ampunilah dosa kedua ibubapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu kecil. Jauhkanlah mereka dari azab kubur dan seksaan neraka yang dahsyat. Ummi..Walid..semoga Jannah tempatmu.


Afnan doakan yang baik-baik untuk Syeikh-Syeikh Murobbi, Mu’allim dan Ustaz-ustaz yang tidak jemu mentarbiyyah mengajarkan ilmu untuknya sedari bangku sekolah hingga dia berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang penuntut ilmu ALLAH di Universiti Al-Bayt, Jordan. Kudus doa Rabitah tidak pernah dilupa dalam munajatnya sebagai pengikat hati antaranya dan sahabat sahabiah perjuangan di kampus yang tidak pernah kenal erti putus asa sepanjang hidup dalam perjuangan meninggikan kalimah ALLAH, menyambung risalah dakwah yang ditinggalkan Rasulullah SAW walau diuji dengan mehnah dan tribulasi yang datang silih berganti. Juga doa keramat untuk saudara-saudara seislam yang sedang tegar memikul perjuangan suci melawan musuh-musuh ALLAH.


Ya ALLAH…

Sesungguhnya kami serahkan segala tengkuk musuh kami kepada Engkau

Kami berlindung kepada Engkau dari kejahatan mereka

Ya ALLAH…

Kembalikan tipu daya mereka kepada mereka

Hancurkan kejahatan mereka..goncangkan pendirian mereka

Ya ALLAH… Hantarkan anjing-anjing Engkau kepada mereka

Wahai Tuhan Yang Maha Gagah

Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa

Wahai Tuhan Yang Maha Pembela

Ya ALLAH..Ya ALLAH..Ya ALLAH..

Wahai Tuhan Yang memiliki Ketinggian dan Kemuliaan

Ya ALLAH…

Yang menurunkan kitab Al-Qur’an

Ya ALLAH…

Yang mengarakkan awan

Wahai Tuhan yang menghancurkan tentera Ahzab

Hancurkan mereka

Tolonglah kami mengalahkan mereka



Juga Afnan singgah di Kota Madinah Al-Munawwarah, kota yang sarat dengan kepahitan dan kemanisan perjuangan junjungan tercinta bersama sahabat sahabiah yang dicintai. Bertafakkur di sini menjadikan hati Afnan diruntun sayu. Seperti sedang melalui portal masa untuk kembali menyusuri sirah perjalanan Kekasih ALLAH yang agung.


Masih terbayang lembut penuh berhikmah tika Nabi SAW memujuk keluarga Yasir yang disiksa. Sabarlah wahai keluarga Yasir..tempatmu di Syurga. Hatimu hancur luluh melihat keluarga Yasir disiksa di hadapan mata. Seperti Baginda dapat merasai kesakitan yang ditempuh Sumaiyyah, Yasir dan Ammar. Hanya Iman, sabar dan keyakinan pada janji ALLAH menjadi benteng kekuatan para sahabat.


Teringat pula Afnan akan keberanian Ali Karramallahuwajhah tika beliau amat berani menggantikan diri di tempat tidur Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah. Tidurlah wahai sepupuku di atas tempat tidurku..berselimutlah dikau dengan selimutku yang hijau. Tidurlah dengan selimutku itu..sesungguhnya dikau akan tetap aman dari gangguan mereka. Demimu Rasulullah, jasad dan nyawa relaku pertaruhkan...

Afnan susuri perjalanan Baginda bersama Abu Bakar menuju Gua Tsur yang amat meletihkan. Jalannya tajam dipenuhi batu-batan. Muhammad, biar ku papah dirimu menuju ke puncak Tsur. Demi ALLAH..janganlah engkau masuk ke dalamnya sebelum aku masuk terlebih dahulu. Jika di dalam ada sesuatu yang berbahaya biarlah aku yang terkena, asal tak mengenai engkau! Setitis airmata derita menahan kesakitan disengat makhluk berbisa jatuh ke pipi bersih Nabi. Apa yang terjadi denganmu wahai Abu Bakar..Betapa cinta Abu Bakar kepada Rasulullah, hingga tiada cinta seorang pun di dunia menyamai cintamu. Jika dikumpul seluruh Iman penduduk Muslim yang ada di dunia hari ini, tidak akan setanding dengan keunggulan Imanmu.


Pagi indah itu kan tetap Afnan kenang sepanjang hayat. Tika langit mulai menguning, burung-burung enggan mengepak sayapnya. Itu khutbah terakhirmu yang kau dendangkan. Wahai Ummatku, kita ada dalam kekuasaan ALLAH dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertaqwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur’an dan Sunnahku. Barangsiapa mencintai Sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk Syurga denganku…


Kau pandang mata-mata yang mengasihimu penuh tenang dan minat. Satu persatu wajah sahabat kau tatap. Bagaikan mengerti, Abu Bakar menatap matamu dengan kesedihan. Naik turun dada Umar menahan tangis. Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Saat kau terbaring hiba, kau tatap puterimu dengan pandangan yang menggetarkan. Pintu-pintu langit sudah terbuka, malaikat tidak sabar menanti rohmu. Syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu. Nyata jaminan itu belum cukup melegakanmu jika tiada jaminan keselamatan buat ummatmu. Janji ALLAH Syurga diharamkan bagi siapa saja, kecuali ummatmu berada di dalamnya.

Detik sakaratul maut yang menggetirkan itu tiba jua. Di sampingmu Fatimah terpejam, Ali menunduk semakin dalam, Jibril memalingkan muka. Bukannya jijik melihatmu, namun…siapakah yang sanggup melihat Kekasih ALLAH direnggut ajal! Masih ku ingat pekikanmu tika menahan sakit yang tak tertanggung lagi. Ya ALLAH..dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku…

Badanmu mulai dingin, kaki dan dadamu sudah tidak bergerak lagi. Bibirmu bergetar seakan ingin membisikkan sesuatu. Peliharalah solat..dan peliharalah orang-orang yang lemah di antaramu. Bibirmu yang kebiruan bergetar menuturkan kalimah cinta buat umatmu..Ummati..Ummati..Ummati..MasyaALLAH…agung sungguh cinta ini. Di mana lagi nak ku cari sehebat ini..sehingga nyawa di hujung badan masih teringatkan umat yang kau sayang..Ummatmu ini pula bagaimana? Jika aku berselawat seumur hidup pun takkan dapat menebus cintamu. Takkkan bisa menandingi jasa dan pengorbanan manusia yang hidupnya tiada henti memberi sinaran itu.

Ya ALLAH…saksikanlah betapa kami mencintai Rasul-Mu, betapa kami sangat ingin bertemu dengan kekasih-Mu. Betapa kami sangat ingin meniru semua perilakunya yang agung, betapa kami sangat ingin dibangkitkan nanti di padang Mahsyar bersama Nabiyullah Muhammad. Betapa kami sangat ingin ditempatkan di dalam Syurga yang sama dengan Syurganya Nabi kami. Ya ALLAH..saksikanlah..

Ego lelaki Afnan jatuh saat berteleku di hadapan ALLAH. Sujud tersungkur penuh keinsafan menghadap Pemilik Seluruh Alam. Airmatanya laju bercucuran saat bermunajat dalam sujudnya yang terakhir. Sedih mengenangkan umat. Maksiat kian pekat, karat Jahiliyyah makin degil susah untuk luntur. Dadanya sesak mengenangkan episod duka umat yang makin jauh dari Al-Qur’an, pesanan Rasulullah sudah lama dilupai. Hatinya jadi kian pedih dan terguris saat mengenangkan kesengsaraan yang dialami saudara seiman di Palestin. Emosinya tersentuh. Tidak tahan dengan rintihan demi rintihan ibu yang kehilangan suami dan anak-anak setiap hari disaksikan di hadapan matanya sendiri. Kamera yang digalasnya ke sana ke mari di bumi berdarah jadi saksi kisah duka tiada pernah bernoktah itu. Kameranya jadi saksi pertempuran hebat antara Mujahid Palestin dengan Rejim Zionis Yahudi yang amat dahagakan darah. Kameranya jadi saksi kebiadapan dan kerakusan kereta kebal dan buldozer Zionis yang tidak mengenal erti belas kasihan meruntuhkan sekaligus meranapkan kediaman rakyat Palestin.

Dia bersama kameranya pernah meredah dan melalui kawasan apartment penduduk Gaza dibanjiri dengan darah-darah suci saudaranya. Kameranya jua jadi saksi kepada huru-hara yang sering berlaku pada hari Jumaat saat berlaku pergaduhan antara Rejim Zionis dan jemaah Palestin ynag mahu menunaikan solat di Al-Aqsa. Saudaranya dihalang dan disekat dari solat di dalamnya. Kameranya jadi saksi apabila sekumpulan pekerja Pertubuhan Antikuiti Israel melakukan penggalian di kawasan kompleks Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Entah dari mana Olmert mendapat mandat mengeluarkan arahan supaya meneruskan penggalian. Restu dari umat Islam mana yang dia peroleh untuk melaksanakan jenayah haram yang sengaja untuk mengancam struktur Masjidil Aqsa.


Kameranya tiada henti merakamkan kematian demi kematian tragis. Harga yang terpaksa dibayar demi pertahankan Al-Aqsa yang dicintai. Jiwa Afnan kian membara. Dia mahu mengkhabarkan seluruh dunia akan kekejaman dan kezaliman Zionis Yahudi. Luka Palestin terlalu dalam, sampai kini tiada penyelamat datang merawat derita yang menyakitkan ini. Afnan punya segulung ijazah dalam bidang Syariah, namun itu masih belum bisa melegakan hatinya. Jihadnya tidak terhenti setakat itu. Pencariannya bertemu jawapan bila seorang ejen Al-Jazeera menawarkan dirinya menjadi wartawan dan jurukamera sebagai wakil media yang berpangkalan di Gaza. Tawaran itu Afnan sambut dengan takbir penuh kesyukuran. Jika Yahudi yang berasal dari Rusia, Jerman, Australia, Maghribi, Amerika Syarikat dan seluruh dunia itu sanggup tinggalkan kemewahan hidup semata-mata untuk hidup di Palestin, kenapa tidak dirinya yang tak punyai apa-apa untuk berkorban tinggalkan Malaysia demi menginfakkan hidupnya di bumi Palestin milik umat Islam ini. Kematian sahabat perjuangannya, Wasif yang juga wartawan Al-Jazeera yang telah ditembak peluru ganas Zionis tidak sekali-kali melemahkan semangatnya malah jadi pemangkin dan inspirasi buatnya. Afnan sedar bukan mudah menjadi individu yang menggalas kamera dan memakai lencana PRESS. Diri seringkali jadi sasaran peluru Zionis serta tidak dibenarkan melepasi pos-pos kawalan.


Hari ini genap 60 tahun peristiwa Nakbah lewat pengusiran rakyat Palestin dari kampung masing-masing akibat kemasukan pendatang haram Yahudi yang tidak tahu malu itu dengan menghalau penduduk sah umat Islam. Detik hitam itu kekal tertancap di hati tiap rakyat Palestin. Kini 4.5 juta pelarian Palestin bertebaran di Jordan, Lubnan, Syria dan seluruh dunia masih menuntut hak untuk kembali ke tanah air. Di kem pelarian Jabaliya, Gaza, Afnan sibuk merakamkan keriangan anak-anak kecil Palestin yang masing-masing melilit kepala dengan kain hijau dan serban bersemangat mengikuti demonstrasi memperingati peristiwa Nakbah 1948. Poster dan sepanduk kelihatan di sana sini. Ada yang turut membawa replika kunci gergasi sebagai tanda ada pelarian yang masih menyimpan kunci rumah yang telah dirobohkan Zionis Yahudi. Ada pemuda-pemuda yang melaungkan takbir sambil membawa panji-panji dan bendera kemenangan.


Dari jauh kelihatan kereta kebal mesin penyembelih Zionis datang mengepung kawasan demonstrasi. Mungkin penyertaan anggota Briged Izuddin Al-Qassam dalam demonstrasi ini amat mereka takuti lantas mahu menghalang demonstrasi. Keadaan jadi kian genting apabila sekumpulan askar Zionis menghampiri kumpulan kanak-kanak yang sedang mengutuk kekejaman mereka. Seorang dari askar itu menampar seorang kanak-kanak. Jatuh terduduk kanak-kanak itu akibat tamparan kuat itu. Tidak cukup dengan itu, seorang lagi askar menendang kanak-kanak itu. Afnan tidak tahan melihat insiden itu. Dengan kamera yang masih tergalas di bahu, mendadak Afnan mendepani kumpulan askar itu. Mahu menyuraikan keadaan tapi dirinya diherdik dan dicaci pula. Askar-askar rakus masih belum berhenti membuli kanak-kanak lemah itu. Hampir menangis kanak-kanak itu dipukul. Afnan nekad menggenggam penumbuknya lantas mengacukan pada seorang askar yang asyik menyepak tubuh kecil yang sudah tidak bermaya. Kaki Afnan sempat menyepak tulang betis askar itu. Askar Zionis naik marah dengan tindakan Afnan.


Afnan diugut supaya menyerahkan kamera yang dipikulnya. Tidak sama sekali! Kamera itulah pedangnya, itulah senjatanya, itulah nyawanya. Jangan dipisahkan darinya! Habis tubuh Afnan dilanyak sekumpulan askar, namun kamera masih dipeluk kemas. Mengalir darah hangat di hidung Afnan. Biarlah dirinya dibelasah asal kameranya tidak terlepas dari genggaman. Dia berhenti dipukul. Seketika dirinya dibiarkan menahan kesakitan. Mata Afnan melilau sekeliling.


Sangkanya Zionis berundur. Rupanya mengumpul kekuatan untuk mara. Kereta kebal milik Zionis membedil seluruh kawasan demonstrasi yang sesak dengan orang ramai. Afnan menyaksikan pertempuran hebat antara HAMAS dengan rejim Zionis. 20 orang telah Syahid, selebihnya cedera. Petugas-petugas perubatan segera sampai dengan ambulans. Mayat-mayat bergelimpangan dan darah segar memancut di sana sini. Ada yang putus tangan, kaki, hancur badan dengan berbagai-bagai rupa.


Bedilan itu tidak terhenti setakat itu. Bedilan kali kedua bergema lagi. Kamera yang setia berada di genggamannya selama ini tiba-tiba terlepas dari tangannya. Kakinya terasa lemah. Pandangannya berpinau. Dia rebah akibat kaki dan kepalanya terkena tembakan. Nyawanya sudah melayang.Namun,maafkan aku…aku tak dapat wariskan senjata jihadku ini buat sesiapa kerana lensanya telah pecah, komponennya telah hancur, lensanya remuk berlumuran darahku. Rohku sudah terbang, kepingin mencari redha-Mu Ya ALLAH.,Aku Syahid di tangan musuh-Mu..sudilah kiranya Kau tempatkan daku di Syurga-Mu bersama para Syuhada’ yang telah berjuang menolong agama-Mu.



NOTA:


“ Dan janganlah kamu menyangka bahawa orang yang terbunuh pada jalan ALLAH itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat kurniaan rezeki." ( Surah Ali Imran : 169 )

"Kamu akan melihat orang yang beriman dalam saling menyayangi,saling kasih-mengasihi,dan saling-mencintai bagaikan satu tubuh.Apabila satu anggota sakit,maka anggota yang lain juga turut sakit dengan berjaga malam dan demam."(Riwayat Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment

jom ReLax

hamster^_^

InDaHnYa IsLaM..

Andai Al-quran bisa bicara,ia berkata:"waktu kau masih anak2,kau bagai teman sejatiku,dgn wudhu kau sentuh aku,dlm keadaan suci kau pegang aku,kau baca dgn lirih dan keras,skrg kau telah dewasa,nampaknya kau tdk berminat lagi padaku,apakah aku bacaan usang?Skrg kau simpan aku dgn rapi,kau biarkan aku berlapis debu,ku mohon peganglah aku lg,bacalah aku setiap hari,kerana aku akn mnjd penerang didalam kuburmu!

cursor

Elegant Rose - Working In Background